PEMAIN perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia tanpa berselindung mengakui persiapannya ke arah Sukan Olimpik 2020 Tokyo agak terbatas selepas pelaksanaan penutupan penuh atau total lockdown oleh kerajaan.
Bagaimanapun, pemenang kejohanan badminton Seluruh England (All England) itu menganggap ia sebagai cabaran dalam usahanya untuk membawa pulang pingat emas pertama Olimpik yang dinanti-nantikan semua rakyat Malaysia.
Kata Zii Jia, suasana kali ini lebih berbeza berbanding kebiasaan, namun dia percaya negara lain juga turut berdepan situasi sama gara-gara pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
“Memang agak sukar untuk buat persiapan dengan situasi Covid-19 yang melanda. Bagaimanapun, saya yakin BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan ISN (Institut Sukan Negara) akan cuba buat yang terbaik untuk bantu kita.
“Apa yang penting sekarang adalah saya perlu buat persiapan rapi untuk ke Olimpik. Saya akui situasi sangat berbeza sekarang dan saya anggap itu sebagai cabaran besar sebelum ke Olimpik.
“Kita tidak boleh berbuat apa-apa mengenai Covid-19, jadi cuba sesuaikan diri dengan keadaan semasa. Negara lain juga berdepan situasi sama dengan kita,” kata pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu.
Olimpik kali ini merupakan penampilan pertama buat pemain berusia 23 tahun itu.
Justeru, dia tidak mahu meletakkan sebarang tekanan meskipun sedar harapan tinggi yang diletakkan ke atas dirinya.
“Memang sasaran saya untuk bermain pada Olimpik kerana ia bukan sesuatu yang mudah. Memandangkan ini adalah penampilan sulung, jadi saya akan buat yang terbaik,” ujarnya.