PETALING JAYA – Biarpun tarikh pernikahannya dengan pelakon, Kamal Adli masih tiada hitam putih, pelakon jelita, Uqasha Senrose memberi bayangan untuk kembali bertudung sebagai persediaan menjadi isteri solehah.
Biarpun diungkapkan secara berseloroh, pelakon berusia 29 tahun itu sedar keputusan untuk bertudung merupakan satu perubahan besar dan harus kekal beristiqamah.
Menyedari statusnya sebagai figura umum, ketaatan untuk melakukan kebaikan itu penting bagi Uqasha agar episod dikecam ramai tidak berulang lagi.
“Rasa macam nak pakai tudung semula, tetapi kena istiqamah dulu. Nanti kena kecam,” katanya dalam satu video yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok semalam.
Uqasha atau nama lengkapnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen sebelum itu dilihat ceria mempromosikan persalinan jubah moden jenama tempatan yang diterimanya.
“Alhamdulillah, saya dapat abaya lagi. Saya tak pernah kecewa dengan rekaan abaya, walaupun ia jubah, tapi kelihatan bergaya. Pada masa yang sama menutup aurat, itu yang paling penting,” katanya.
Terdahulu, pelakon Rindu Awak Separuh Nyawa itu mengakui enggan tersilap langkah lagi dalam membuat keputusan besar dalam hidup sehingga membuka ruang buat orang lain berkata buruk mengenai dirinya.
Pernah melewati fasa berhijab sekitar 2013 dan menanggalkan tudung pada 2016, tindakan kakak kepada pelakon Nelydia Senrose itu pernah mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan reputasinya tercalar.
“Saya pernah tidak bertudung, bertudung dan tak bertudung semula. Kalau boleh saya tak nak buat keputusan drastik yang membuat orang bercakap buruk lagi tentang saya.
“Kita tahu bertudung untuk apa, itu antara saya dan Tuhan. Bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang di luar sana,” katanya dalam satu temu bual sebelum ini.