PETALING JAYA – Semua warga Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan umat Islam dijemput bersama-sama menyertai Program Bacaan Yasin Perdana dan doa selamat yang akan disiarkan secara langsung di Facebook Rasmi KPT esok.
Inisiatif tersebut diambil bagi menghadapi ujian Covid-19 yang sedang meningkat kini dan juga memohon doa kepada Allah SWT agar dikurniakan kesembuhan buat mereka yang dijangkiti Covid-19 dan dihindari daripada wabak itu.
Menurut kenyataan KPT, program tersebut bakal menggalakkan penglibatan aktif warga dalam aktiviti kerohanian serta memupuk kerjasama, persefahaman dan permuafakatan antara warganya.
“Melalui program itu, semua warga KPT, agensi, kakitangan dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) akan membaca surah Yasin serta doa selamat secara atas talian,” katanya.
Bacaan surah Yasin dan doa selamat tersebut akan dipimpin oleh Naib Pengerusi Pengurusan Surau Ibadurrahman KPT, Ustaz Ahmad Shauqi Abu Kasim.
Pada masa sama, pihak KPT ingin menyeru agar masyarakat dapat menggunakan kesempatan berkumpul bersama keluarga sewaktu penguatkuasaan PKP ketika ini dengan bersama-sama bermunajat dan mengikuti program itu.
“Semoga usaha tersebut mendapat rahmat daripada Allah SWT serta dikurniakan kesejahteraan buat negara khususnya dalam keadaan wabak Covid-19 yang sedang melanda.
“Sama-sama kita bersatu melawan wabak ini dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan pihak berkuasa, Insha-Allah kita mampu lakukan. Stay Safe and Stay Home,” katanya.
Majlis bacaan Yasin itu akan turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff dan semua anggota pengurusan tertinggi KPT.