MANILA – Seorang peguam di Sorsogon City, Filipina menerima upah beberapa ekor ketam selepas kliennya memaklumkan tidak mampu membayar yuran guaman, lapor laman berita GMA News Online baru-baru ini.
Dalam satu hantaran Facebook yang tular, Noel Allen Bose berkongsi foto dirinya memegang beberapa ekor ketam di tangan kananannya dan beg bimbit di tangan kirinya.
Bose berkata selepas satu perbicaraan kes, seorang klien memberitahu bahawa dia tidak mempunyai wang untuk mebayar yuran guaman Bose dan bertanya jika boleh membayar khidmatnya dengan ketam yang telah ditangkap.
Bose bersetuju dan menerima ketam tersebut.
“Hadiah ketam ini sememangnya mengenyangkan namun reaksi positif anda semua terhadap status ini menjadikan hati saya berasa terharu.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peguam yang bertugas untuk sektor kerajaan dan swasta,” tulis Bose pada hantaran itu.
Tambahnya, peguam jarang menulis atau berkongsi tentang kerjaya atau cabaran kes yang dihadapi namun mereka sentiasa berusaha keras untuk memenuhi janji bagi membantu warga Filipina. – Agensi