fbpx

Melaka benarkan ibadah korban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL HALIM Tawil bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar SOP ibadah korban di Pejabat Mufti, Ayer Keroh, Melaka. - MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

Oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

MELAKA – Ibadah korban dibenar dilaksanakan di negeri ini sempena sambutan Hari Raya Aidiladha bermula 20 hingga 23 Julai depan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Mufti negeri, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, kebenaran itu tidak terpakai di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), namun tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri atas nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jelas beliau, ibadah korban hanya dibenarkan dilakukan di dua rumah sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) iaitu di Merlimau dan Masjid Tanah manakala rumah penyembelihan swasta pula di Umbai dan Sungai Putat.

“Bagi tempat penyembelihan sementara, kebenaran diberikan kepada penternak yang mempunyai kemudahan kawasan sembelihan dan jawatankuasa masjid, surau dan institusi yang mempunyai kawasan lapang dan kemudahan sembelihan.

“Pemohon hendaklah mendapat kelulusan daripada JPV Melaka dan pihak berkuasa agama negeri. Bilangan haiwan ternakan yang dibenarkan adalah lima ekor sehari bagi lembu dan kerbau sementara 10 ekor sehari bagi kambing dan biri-biri,” katanya ketika sidang akhbar khas SOP ibadah korban di sini, hari ini.

Dalam pada itu, tambah Abdul Halim, bilangan kehadiran petugas dihadkan hanya 25 orang sahaja pada satu-satu masa tertakluk kepada situasi semasa Covid-19 dan individu berisiko rendah sahaja.

Menurutnya, mereka yang disyaki atau kontak rapat kepada pesakit Covid-19, penghidap penyakit kronik dan kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan bertugas. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI