fbpx

Sindiket pelacuran sering tukar lokasi tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara wanita warga asing yang ditahan dalam satu operasi di sebuah hotel sekitar Taman Maluri, Cheras semalam.

KUALA LUMPUR – Seramai 15 wanita warga asing disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran ditahan dalam satu operasi di sebuah hotel di Taman Maluri, Cheras di sini semalam.

Operasi pada pukul 7 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dari Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Putrajaya.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, tangkapan terdiri daripada 11 wanita warga Thailand, Vietnam (3) dan seorang warga Indonesia berusia dalam lingkungan 19 hingga 34 tahun.

“Risikan mendapati, sindiket ini sering menukar lokasi hotel setiap dua minggu bagi mengelak dari dikesan pihak berkuasa.

“Operasi semalam telah dijalankan di tingkat tiga hotel berkenaan dan mendapati bilik-bilik telah didaftarkan atas nama lelaki warga tempatan yang disyaki penjaga kepada kesemua wanita warga asing tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, sindiket berkenaan hanya membenarkan pelanggan yang dikenali sahaja untuk mendapatkan khidmat pelacuran dan dijalankan dengan pengetahuan pihak pengurusan hotel itu sendiri.

“Perkhidmatan pelacuran ditawarkan dengan harga antara RM230 hingga RM500 bagi tempoh 45 minit. Separuh daripada bayaran akan diambil oleh majikan dan selebihnya merupakan upah kepada wanita warga asing bagi setiap pelanggan.

“Pelanggan terlebih dahulu akan memilih wanita warga asing yang ingin dilanggan melalui aplikasi seperti Wechat dan Telegram yang diwujudkan khas oleh sindiket ini.

“Bayaran perlu dilakukan kepada penjaga atau penyelia terlebih dahulu di lobi hotel sebelum diberikan nombor bilik wanita yang telah ditempah,” jelasnya.

Tambahnya, seramai tujuh lelaki warga tempatan yang bekerja sebagai penyelia atau dikenali sebagai ‘Kapten’ dan Pengurus Operasi di hotel tersebut turut ditahan.

“Barang-barang seperti kondom, minyak pelincir, kad akses bilik, telefon bimbit turut dirampas. Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa.

Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya bagi menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan di atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI