ANTALYA, TURKI – Seorang lelaki sanggup membayar rawatan bernilai £130,000 (RM754,204) bagi mendapatkan efek wajah seperti fungsi ‘filter’ di platform media sosial, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.
Aneece Malik, 32, berkata, dia sering berasa tidak yakin dengan rupa parasnya dan kerap menggunakan fungsi filter pada Instagram setiap kali memuat naik video atau gambar.
“Saya mempunyai akaun TikTok dan Instagram, namun berasa benci untuk memuat naik gambar sendiri kerana tidak suka dengan rupa paras sebelum ini.
“Jadi, saya sering menggunakan fungsi tapisan kulit atau ’filter’ seperti ‘Pillow face’ dan ‘snatched’ di Instagram sebelum memuat naik video di TikTok.
“Saya kemudiannya terfikir untuk mempunyai wajah yang sama seperti filter supaya ia kekal dan tidak lagi perlu berselindung di sebalik kesan suntingan palsu,” ujarnya.
Bagi mendapatkan wajah baharu, Aneece melakukan prosedur pengisi pipi, botoks, venir, pembuangan bulu secara laser dan bilah mikro sehingga menghasilkan satu wajah yang berbeza.
“Saya amat obses dengan wajah baharu ini dan ia perlu kelihatan sempurna.
“Beberapa perawat enggan menambah baik wajah saya kerana mereka berpendapat banyak prosedur rawatan telah dilakukan. Jadi, saya pergi ke klinik yang berbeza setiap bulan,” katanya. – AGENSI