GUA MUSANG – Hampir 10,000 daripada 12,000 orang masyarakat Orang Asli di daerah ini dipercayai menolak suntikan vaksin Covid-19 selepas terpengaruh dengan berita palsu golongan antivaksin.
Keadaan itu menyebabkan ketua-ketua masyarakat Orang Asli atau Tok Batin mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap golongan antivaksin yang menghasut dan menakutkan Orang Asli di negeri ini untuk menerima suntikan vaksin.
Tok batin Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, Ibrahim Marijah berkata, jumlah itu menunjukkan kira-kira 80 peratus masyarakat Orang Asli di daerah ini yang menolak vaksin.
Katanya, kerajaan harus membendung golongan tersebut dan perlu konsisten sampaikan mesej kepada rakyat bahawa vaksin Covid-19 adalah selamat.
“Setakat ini, hanya 50 orang daripada lebih 3,000 penduduk Orang Asli di kampung sata secara sukarela bersetuju mengambil suntikan vaksin Covid-19.
“Saya sudah maklumkan kepada masyarakat Orang Asli bahawa suntikan vaksin ini tidak sakit. Kesan disengat tebuan atau ular lebih teruk daripada cucuk vaksin,” katanya selepas menerima suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin Sementara di Dewan Jubli Perak, RPS Kuala Betis di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim dan Pegawai Kesihatan Daerah Gua Musang, Dr. Muhd. Rafiq Mohd. Kasri.
Sementara itu, Muhd. Rafiq berkata, Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di RPS Kuala Betis merupakan lokasi pertama program itu diadakan untuk masyarakat Orang Asli di Gua Musang.
Katanya, buat permulaan, seramai 50 orang telah setuju menerima suntikan vaksin itu sementara bakinya lagi akan berbuat demikian pada bulan hadapan. – K! ONLINE