PUTRAJAYA – Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan menyentuh mengenai cabaran semasa dalam pengagihan vaksin secara adil dalam ucapannya sempena Persidangan Secara Maya Peringkat Tinggi Asia dan Pasifik mengenai Kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) hari ini.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, Hishammuddin juga akan menyentuh tentang kaedah bagi memantapkan lagi daya tahan negara dalam menghadapi cabaran pandemik di masa hadapan.
Selain itu, katanya, Hishammuddin akan menyampaikan ucapan menyentuh mengenai kepentingan dalam mencapai keseimbangan dalam kesihatan awam serta menangani cabaran Covid-19 di bawah kerangka BRI.
“Sejajar dengan tema persidangan, pandangan mengenai ‘pembangunan hijau’ dalam konteks kerjasama di bawah BRI serta sasaran mencapai Matlamat Pembangunan Lestari juga akan dikongsikan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Kementerian Luar memaklumkan bahawa penyertaan Hishammuddin dalam persidangan itu adalah atas undangan Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Menteri Luar Negeri Republik Rakyat China, Wang Yi.
Menurutnya, persidangan tahun ini akan memberi tumpuan kepada usaha memacu kerjasama antarabangsa bagi memastikan agihan vaksin yang lebih adil, terbuka dan tanpa diskriminasi.
“Pada masa sama ia juga bertujuan mempromosikan ‘pembangunan hijau’ ke arah pencapaian pembangunan yang mapan dan menyeluruh,” jelasnya. – K! ONLINE