fbpx

Dua maut, motosikal bertembung lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal dinaiki dua lelaki yang maut dalam kemalangan di Jalan Telupid ke Kota Kinabalu berhampiran Kampung Wonod kelmarin. -Foto: IHSAN POLIS

BELURAN – Dua lelaki maut selepas motosikal ditunggangi bertembung sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Telupid ke Kota Kinabalu berhampiran Kampung Wonod kelmarin.

Dalam kejadian sekitar pukul 11.30 malam itu, mangsa dikenali sebagai Mailven dan Mirus, berumur dalam lingkungan 40 tahun dilaporkan meninggal dunia ekoran mengalami kecederaan parah di badan.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, lori berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari arah Telupid, menghala ke Kota Kinabalu.

“Bagaimanapun, dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal dipercayai keluar dari simpang secara mengejut mengakibatkan pemandu tidak dapat mengelak dan melanggar motosikal terbabit.

“Ekoran kejadian itu, penunggang motosikal dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Telupid,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Dalam pada itu, pemandu lori yang juga seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah membuat laporan polis di Balai Polis Telupid berhubung kejadian berkenaan.

Kasim berkata, pemandu berkenaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI