BANGKOK – Permulaan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) kurang bernasib baik apabila tewas 0-1 kepada wakil Jepun, Nagoya Grampus di Stadium Rajamangala, Bangkok malam tadi.
Jaringan kontroversi menerusi pemain tengah, Hiroyuki Abe pada minit ke-60 nyata mencetuskan suasana tegang, namun pengadil perlawanan, Mohamed Abdulla Hassan tetap mengesahkan jaringan tersebut.
Ketika jaringan itu dilakukan, pemain-pemain JDT memperlahankan rentak permainan apabila berpendapat penyerang Nagoya, Ryogo Yamasaki berada dalam kedudukan ofsaid, namun aksi tetap diteruskan.
Pada perlawanan tersebut juga, Nagoya dilihat lebih banyak melakukan ancaman ke arah pintu gol skuad Harimau Selatan apabila memaksa benteng pertahanan yang diketuai Mauricio dos Santos bekerja keras.
Meskipun berdepan pasukan yang lebih berpengalaman, JDT turut beberapa kali mengancam pintu gol skuad kendalian Massimo Ficcadenti menerusi penyerang berbisa, Bergson Da Silva.
Harimau Selatan hampir pasti untuk membawa pulang satu mata, namun jaringan Bergson pada penghujung perlawanan tidak disahkan apabila dia didakwa menolak pertahanan lawan terlebih dahulu.
Menerusi keputusan itu, hasrat JDT untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata tidak tercapai.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan G, Pohang Steelers menepati ramalan apabila berjaya membenam kelab Thailand, Ratchaburi menerusi kemenangan 2-0. K! ONLINE