PETALING JAYA – Selepas lebih tiga dekad mencari makan dalam industri hiburan, penerbit, pengarah yang juga aktor popular, Datuk Hans Isaac sudah sedia mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lakonan.
Katanya, sudah sampai masa untuk mengundurkan diri. Bagaimanapun, jika dipelawa terbabit dalam kemunculan khas atau cameo, perkara tersebut mungkin akan dipertimbangkan.
“Bidang lakonan kini hanya sebagai hobi saja, bukan lagi lapangan untuk mencari makan,” katanya ketika sesi soal jawab secara langsung menerusi Facebook Live, baru-baru ini.
Usahawan yang aktif dalam kerja kebajikan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kita Budak Ampang itu bagaimanapun tidak berkongsi lebih lanjut berhubung kenyataannya.
Pesona Hans di layar perak terserlah dengan penampilan sulung pada usia 22 tahun menerusi filem Ringgit Kasorrga bersama Deanna Yusoff, Puan Sri Tiara Jacquelina dan Zaidi Omar.
Dalam tempoh hampir 30 tahun bertapak, dia membina rumah produksi di bawah nama Tall Order selain bergiat dalam dunia belakang tabir dan kerja kebajikan.
Dia juga pernah memegang portfolio Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) selama 13 bulan.
Hans atau nama sebenar, Gerald Hans Isaac, 50, turut mengulas berkenaan industri perfileman tempatan yang disifatkan tiada lagi harapan.
Jika melihat kepada situasi sekarang, Hans secara peribadi berpendapat hanya lima sahaja syarikat produksi mampu bertahan.
Katanya, itu pun disebabkan pihak terbabit mengadakan projek pembikinan filem secara usahasama dengan pemain industri lain sama ada studio, pengedar atau pawagam.
“Kalau masing-masing buat kerjasama memang boleh buat duit tetapi kalau buat seorang diri memang tak boleh jalan. Ini realiti dalam bisnes perfileman, macam kartel.
“Jika mahu juga jadi pembuat filem, semoga berjaya. Dalam 100 yang baharu nak berjinak-jinak, mungkin hanya satu yang sukses. Duit daripada hasil filem memang tak boleh buat kita bersara,” katanya.
Sepanjang hampir sejam bersiaran langsung, Hans turut membicarakan pelbagai topik membabitkan dirinya termasuk arena politik, isu pandemik dan hal peribadi.
Terdahulu, sebelum ini terdengar ura-ura figura seni berdarah campuran itu mahu bertanding sebagai calon Parti Keadilan Rakyat bagi Parlimen Ampang.
Bagaimanapun, dia hanya mengulas pertanyaan pengikut mengenai piawaian untuk dipilih ke parlimen yang diakui bergantung kepada presiden parti.
Malah katanya, latar belakang pendidikan hanya salah satu kriteria kerana banyak perkara lain perlu dipertimbangkan, terutama sokongan penduduk setempat terhadap seseorang calon.
Tidak berselindung soal jodoh, katanya dalam tempoh lima tahun akan datang dia sudah berkeluarga, bina bisnes baharu, gilap pelapis untuk kendali perniagaan selain masih aktif dalam Kita Budak Ampang.
Katanya, dia tidak melihat paras rupa sebagai keutamaan sebaliknya mencari wanita yang ringkas dan paling penting sangat memahami dirinya.
“Semua lelaki suka melihat wanita cantik tetapi sudah tentu setiap orang mempunyai ciri wanita idaman yang berbeza. Saya pernah menjalin beberapa hubungan sebelum ini, kecantikkan bukan lagi keutamaan.
“Jika suatu hari nanti saya sudah bersedia untuk berumah tangga, saya ingin wanita yang ringkas, menyenangkan dan mampu memahami saya,” katanya lagi.- K! ONLINE