PETALING JAYA – Biarpun menetap di negara yang serba moden dan maju iaitu Singapura, penyanyi rap muda asal negara republik itu, YHB Sleepsalot selesa menyanyi rap dalam bahasa Melayu.
kata pemilik YHB, Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang indah dan mempunyai maksud mendalam dalam setiap perkataan.
“Masa mula-mula jadi penyanyi rap, saya tulis lirik dalam bahasa Inggeris namun selepas beberapa eksperimen, saya dapati menulis dalam bahasa Melayu lebih memberi kepuasan.
“Hal ini kerana, bahasa Melayu adalah bahasa ibunda dan saya sendiri ketika berada di rumah bercakap dalam bahasa Melayu dengan ibu bapa,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang akhbar secara maya pelancaran single terbaharunya dengan SonaOne berjudul Jatuh Boi sebentar tadi.
Kata penyanyi muda berusia 19 tahun itu, bahasa Melayu mempunyai seni yang amat mendalam dan itu membuatkan dirinya terus bersemangat untuk menulis dalam bahasa ibundanya itu.
“Tulis bahasa Melayu lagi beremosi dan memberi makna mendalam kepada saya. Itu sesuatu yang saya suka tentang bahasa ini.
“Lagi deep (mendalam) dan genuine (tulen). Saya berharap dalam tulis lebih banyak lagu berbahasa Melayu selepas ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, YHB membuktikan dirinya boleh menggegarkan arus hip hop di Singapura dengan pelancaran lagu terbarunya, Jatuh Boi.
Lagu yang dihasilkan oleh bintang hip hop Flightsch dan RIIDEM itu diluncurkan tidak lama selepas pelancaran debutnya dengan Def Jam Singapura.
Walaupun masih muda, YHB bijak mengatur langkah apabila berkolaborasi dengan SonaOne dalam lagu terbaru tersebut.
“Jatuh Boi umpama lagu pilihan bagi sesiapa sahaja yang telah melalui masa-masa sukar dan ingin melupakan saat sukar tersebut.
“Saya ambil satu perkataan dan saya tukarkan ia menjadi sesuatu yang positif juga sebagai sumber kekuatan,” jelas YHB. – K! ONLINE