Oleh KHAIRUL MOHD ALI
JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kemurkaan terhadap aktiviti pemburuan haram masih berlaku di beberapa kawasan hutan di negeri ini.
Baginda turut meluahkan kekecewaan kerana telah membangkitkan isu berkenaan sebelum ini namun tiada tindakan diambil pihak berkuasa.
“Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Saya mahu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta polis segera menjalankan siasatan dan sediakan satu laporan penuh berhubung kejadian malam tadi.
“Kesemua pemburu ini juga dipercayai memiliki senjata berupa senapang patah buatan sendiri,” titah baginda dalam satu kenyataan dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi baginda.
Baginda turut memaklumkan menerima maklumat berserta gambar mengenai satu aktiviti pemburuan haram berskala besar yang berlaku di negeri ini, semalam.
Kegiatan itu dilaporkan berlaku di kawasan Endau Rompin dan Kahang, melibatkan haiwan seperti kancil dan landak yang disyaki dijual untuk tujuan perubatan tradisional.- K! ONLINE.