PETALING JAYA – Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) telah menyalurkan bekalan makanan dan keperluan harian kepada 1,000 keluarga Palestin di empat kem pelarian di Jordan petang tadi.
Bantuan itu disalurkan melalui Misi Humanitarian Mission 4 Palestin (HM4P) melibatkan kem pelarian Palestin di Al-Baqa’a, al-Rusaifah, Hitthin dan Wahadad.
Pengerusi BKUM yang juga merangkap ketua misi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, sumbangan tersebut mencukupi untuk tempoh sebulan bagi sesebuah keluarga pelarian berkenaan.
“Kita agihkan 1,000 pek makanan dan barangan keperluan ini di empat kem pelarian sasaran.
“Oleh kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, maka proses agihan hanya dilakukan di Kem Al-Baqa’a dan bantuan selebihnya akan disalurkan Lajnah Zakat Jordan kepada kesemua 1,000 keluarga pelarian Palestin yang dibantu,” katanya dalam satu kenyataan semasa menyampaikan sumbangan di kem pelarian Palestin Al-Baqa’a hari ini.
Turut sama dalam misi itu ialah wakil Lajnah Zakat Jordan di Al-Baqa’a, Hashim Muhammad Al-Titi dan Timbalan Pengerusi BKUM merangkap Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya.
Mengulas lanjut beliau berkata, Kem Al-Baqa’a antara kem pelarian padat di Amman dengan populasi lebih 200,000 yang majoritinya melarikan diri dari wilayah konflik itu pada 1948 selepas pembentukan negara haram Israel.
Abdul Azeez bersama lima delegasinya tiba di Jordan sejak Sabtu lalu sebelum bertolak ke Kaherah untuk bergabung dengan anggota misi HM4P di Mesir.
Kesemua mereka dijangka memasuki wilayah Gaza minggu ini, bagaimanapun ia tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.
Misi HM4P selama dua minggu bermula 19 Jun lalu bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin.
Selain itu, misi berkenaan turut menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat serta warga Palestin terjejas di Gaza yang diserang tentera Israel bulan lalu.
Berdasarkan statistik daripada Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), terdapat lebih dua juta pelarian Palestin berdaftar dengan badan dunia itu dan menerima bantuan langsung daripadanya untuk kelangsungan hidup. -K! ONLINE