PASUKAN Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) negara, Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) mengakui, petunjuk prestasi utama (KPI) sentiasa menjadi sandaran dan mana-mana pelumba yang gagal capai sasaran tidak akan disambung kontrak.
Prinsipal pasukan SRT, Datuk Razlan Razali mengakui, KPI ditetapkan bukan kepada pelumba tempatan sahaja bahkan pelumba Eropah termasuk dalam saingan Moto3 mahupun Moto2.
“Seperti kita jelaskan sebelum ini, KPI sentiasa menjadi rujukan kepada setiap pelumba dan apa yang kita mahu adalah mereka perlu berusaha keras mencapai syarat yang kita tetapkan.
“Jika mereka gagal melengkapkan KPI, sudah pasti kontrak mereka tidak akan disambung. Jadi semua pelumba SRT perlu bekerja keras dan menampilkan aksi terbaik mereka.
“KPI yang ditetapkan itu bukan hanya tertumpu kepada pelumba Malaysia, bahkan pelumba Eropah juga. Mereka perlu bekerja keras dalam baki pusingan perlumbaan musim ini, jika tidak kita akan gantikan dengan pelumba lain musim depan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Pada saingan Moto2, dua pelumba Petronas Sprinta Racing iaitu Jake Dixon dan Xavi Vierge dilihat belum berupaya menjelmakan kemenangan mereka. Hanya Vierge berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga di Catalunya, Sepanyol.
Dalam kategori Moto3, John McPhee pula dilihat bergelut memburu kemenangan sulung selepas gagal menamatkan empat pusingan perlumbaan daripada tujuh pusingan. Rekod terbaiknya adalah pada Grand Prix (GP) Perancis selepas menamatkan saingan di tempat keempat.
Bagaimanapun, Darryn Binder menampilkan aksi positif apabila meraih dua podium pada perlumbaan iaitu GP Qatar dan GP Doha sekali gus menduduki tangga ketujuh dalam carta kedudukan pelumba keseluruhan, manakala McPhee tempat ke-18.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kontrak bersama Petronas yang berakhir hujung musim ini, Razlan mengakui pihaknya masih dalam proses perbincangan.
“Kontrak kami bersama Petronas berakhir tahun ini. Proses perbincangan masih dijalankan. Insya-Allah segalanya positif. Apa yang kita buat dua tahun lepas agak positif dan melepasi sasaran ditetapkan. Jadi, kita akan meneruskan perbincangan dari semasa ke semasa,” ujarnya.