TANGKAK- Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar elaun sukarelawan kesihatan yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Risiko Rendah (PKRC) bermula bulan ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peningkatan kadar bayaran itu diberikan selaras keputusan kerajaan mengumumkan pembukaan PPV yang akan beroperasi setiap hari.
Menurut beliau, kadar elaun bernilai RM50 sebelum ini akan dinaikkan sehingga RM100 dengan membabitkan kira-kira 19,000 sukarelawan kesihatan.
“Kerajaan telah memutuskan bahawa pusat pusat pemberian vaksin beroperasi tujuh hari seminggu dengan masa operasi dilanjutkan.
“Saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan untuk mengkaji semula kadar bayaran kepada sukarelawan ini, supaya dapat ditambah jumlahnya dan bilangan penerima juga diperluas secepat mungkin.
“Jadi kerajaan bersetuju bayaran saguhati ini ditingkatkan kepada sukarelawan yang bertugas melebihi 12 jam sehari bermula Jun ini yang melibatkan implikasi kewangan tambahan berjumlah RM180 juta,” katanya selepas mengadakan lawatan ke PPV Dewan Muafakat Johor Bukit Gambir di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir berkata, kenaikan kadar saguhati kepada sukarelawan itu merupakan pengiktirafan kepada jasa dan sumbangan mereka yang bertungkus lumus bagi memastikan rakyat negara ini menerima suntikan vaksin dengan teratur, cepat dan selamat. -K! ONLINE