AMSTERDAM – Jurulatih Belanda, Frank De Boer berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan pasukannya ketika membenam Macedonia Utara 3-0 pada aksi terakhir Kumpulan C, Euro 2020 di Arena Johan Cruyff awal pagi semalam.
Meskipun sedikit kecewa dengan kelonggaran benteng pertahanan, namun beliau memuji keyakinan yang ditunjukkan barisan pemain terutamanya pada bahagian serangan sepanjang perlawanan itu.
Menerusi dua gol Georginio Wijnaldum dan satu jaringan Memphis Depay, Belanda turut memastikan mereka melangkah ke pusingan 16 pasukan terbaik selaku juara kumpulan.
“Saya dapat lihat pasukan berada dalam keadaan baik. Satu perkembangan yang cukup baik untuk pasukan dari semua aspek dan saya harap aksi positif ini boleh diteruskan pada pusingan kalah mati nanti.
“Secara keseluruhan, saya percaya bahagian pertahanan masih boleh diperbaiki kerana jentera serangan Macedonia Utara kerap kali masuk ke dalam kotak penalti,” katanya.
Beliau yang juga legenda bola sepak Belanda gembira apabila gandingan Donyell Malen dan Depay di bahagian serangan berfungsi dengan baik.
“Gandingan mereka berdua cukup baik pada perlawanan ini. Bagaimanapun, untuk aksi akan datang, saya perlu lihat kekuatan pasukan lawan terlebih dahulu sebelum buat keputusan mengenai kesebelasan utama,” ujarnya. – AGENSI