BRASILIA – Argentina mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu Kumpulan A selepas mencatat kemenangan 1-0 menundukkan Paraguay pada saingan yang berlangsung di Estadio Mane Garrincha pagi semalam.
Biarpun berjaya mencatat kemenangan kedua dalam tiga perlawanan Copa America 2021 setakat ini, namun pengendali Argentina, Lionel Scaloni mengakui pasukannya tidak berada dalam keadaan terbaik.
“Saya bimbang dengan keadaan fizikal para pemain dan hari ini kami bermain dalam keadaan kurang sempurna. Kami bermain dengan baik pada separuh masa pertama tetapi kemudiannya Paraguay menunjukkan aksi fizikal yang lebih baik berbanding kami.
“Saya fikir Argentina perlu memberikan perhatian kepada aspek fizikal selepas ini untuk kami mempamerkan peningkatan dalam perlawanan selepas ini,” katanya.
Menurutnya, sepanjang perlawanan berkenaan Argentina terpaksa menahan asakan bertali arus daripada Paraguay dan pasukannya bernasib baik kerana berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan berkenaan.
“Paraguay nampaknya lebih segar kerana ia adalah perlawanan kedua mereka berbanding kami yang sudah memasuki aksi ketiga.
“Cuma, kelebihan yang kami miliki adalah para pemain sudah benar-benar menguasai ‘mood’ pertandingan berbanding Paraguay menyebabkan kami tidak ada masalah untuk menahan asakan dan mengekang mereka daripada mendapat banyak peluang,” jelasnya. – AGENSI