PETALING JAYA – Padah melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandungnya kerana berang wanita itu enggan memberikan wang membeli dadah, seorang lelaki dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret M.Barath menjatuhkan hukuman itu terhadap R.Mahendran ,23, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 20 Jun lalu.
Mengikut pertuduhan, Mahendran didakwa melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap P.Kalaivaini, 50, di sebuah unit pangsapuri di Pelangi Damansara, PJU 6, Persiaran Surian di sini pukul 9 malam pada 18 Jun lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan hukuman yang bakal dikenakan dengan alasan dia mabuk ketika kejadian.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara terhadap tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan serius.
“Mahkamah perlu mengambil kira mangsa dalam kes ini ada ibu kandung tertuduh yang mana mangsa dilindungi, ” katanya.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh telah mengamuk di rumah dan meminta wang untuk membeli dadah.
Tertuduh kemudian telah mengacukan pisau ke arah ibunya dan berkata ‘mahu duit, jika tak ada duit mahu kasi potong’.-K! ONLINE