KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) sedia berunding dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menentukan pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.
Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya menyambut baik kesediaan Bersatu mengurangkan jumlah kerusi yang akan ditandingi dan kedua-dua parti akan memastikan kerjasama baik di antara mereka berterusan.
“Saya mengalu-alukan kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa mereka bersedia bertanding sejumlah kerusi yang lebih rendah dari apa yang digembar-gemburkan sebelum ini. Insya-Allah kita akan berunding secara lapang dada.
“Apa yang menjadi keutamaan ialah mengukuhkan penyatuan bagi membolehkan agenda rakyat disempurnakan,” katanya menerusi ciapan dalam laman Twitter miliknya hari ini.
Semalam, Hamzah menyatakan kesediaan Bersatu untuk berkompromi dengan rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) berhubung agihan kerusi dalam PRN Sabah.
Dalam pada itu, Annuar menyifatkan parti baharu yang bakal ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai usaha menjadi dinasti keluarganya.
“Banyak juga parti politik terbentuk untuk membela dan mempertahan legasi dan ego individu, tidak kurang untuk menjaga dinasti dan keluarga. Rakyat cuma pelapik dan alasan,” jelasnya. – K! ONLINE.