fbpx

Eksekutif pasar raya direman tujuh hari rasuah kontrak pembersihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Eksekutif wanita sebuah pasar raya terkemuka direman tujuh hari. - Foto ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Seorang eksekutif wanita sebuah pasar raya terkemuka direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan rasuah kontrak pembersihan pada tahun 2018 hingga tahun ini.

Perintah reman terhadap suspek berusia 43 tahun itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar A. Karthiyayini selepas membenarkan permohonan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Wanita tersebut hadir di Mahkamah Majistret pukul 9.45 pagi dengan memakai baju lokap SPRM dan bergari serta dikawal pegawai SPRM.

Menurut sumber, suspek terlebih dahulu ditahan pukul 3.20 petang semalam di Pejabat SPRM Selangor.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek telah bekerja lebih lima tahun dan memegang jawatan di bahagian pengurusan di sebuah pasar raya yang dipercayai mempunyai kawalan langsung terhadap pemberian kontrak-kontrak pembersihan di cawangan pasar raya itu.

“Suspek dikatakan telah meminta dan menerima suapan sebanyak RM39,000 sebagai balasan bagi memastikan syarikat-syarikat terbabit terus mendapat kontrak pembersihan dengan syarikatnya.

“Difahamkan setakat ini siasatan menunjukkan dua buah syarikat pembekalan pembersihan terlibat dalam pemberian kontrak tersebut,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Sumber juga memaklumkan suapan bulanan diterima adalah dianggarkan kira-kira lima peratus daripada nilai kontrak untuk kerja-kerja pembersihan tiga cawangan di Selangor dan satu masing-masing di Melaka dan Johor.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI