fbpx

Belgium juara kumpulan, Finland tunggu nasib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain meraikan jaringan Belgium ketika menewaskan Finland 2-0 pada saingan terakhir Kumpulan B, Euro 2020 di Stadium Krestovsky, Saint Petersburg sebentar tadi. - AFP

SAINT PETERSBURG – Belgium mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati Euro 2020 sebagai juara Kumpulan B selepas menewaskan Finland 2-0 di Stadium Krestovsky sebentar tadi.

Bagaimanapun, pasukan ranking No. 1 dunia itu tidak diberikan laluan mudah apabila bertungkus lumus mencari jalan untuk menembusi benteng pertahanan Finland sepanjang aksi tersebut.

Skuad bimbingan Roberto Martinez itu dilihat memulakan perlawanan dengan ‘gear’ rendah tanpa kehadiran beberapa pemain utama seperti dua bek tengah, Toby Alderweireld dan Jan Vertonghen selain Dries Mertens serta Yannick Carrasco.

Martinez juga merasakan ia adalah kesempatan terbaik untuk menurunkan kapten yang juga bintang Real Madrid, Eden Hazard dalam kesebelasan utama memandangkan Belgium sudahpun memenangi dua perlawanan terdahulu.

Ternyata aksi babak pertama bukan corak permainan sebenar dipamerkan pasukan pilihan seperti Belgium yang dilihat tercari-cari rentak sebenar dalam mengatur gerakan serangan ke arah gawang gol Finland.

Persembahan membosankan Belgium berubah pada separuh masa kedua apabila skuad Red Devils itu dilihat lebih bertenaga dan berjaya membuka tirai jaringan menerusi rembatan Romelu Lukaku pada minit ke-67.

Bagaimanapun, gol itu dibatalkan selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati Lukaku berada dalam keadaan ofsaid ketika menerima hantaran daripada Kevin de Bruyne.

Belgium akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan sendiri penjaga gol Finland, Lukas Hradecky yang tertampan bola ke gawang sendiri selepas tandukan Thomas Vermaelen terkena tiang gol menerusi sepakan penjuru pada minit ke-74.

Pasukan tempat ketiga Piala Dunia 2018 itu memastikan kemenangan mutlak menjadi milik mereka menerusi percubaan Lukaku pada minit ke-84 yang kali ini tidak dibatalkan oleh pengadil perlawanan.

Belgium kini menanti lawan daripada pasukan tempat ketiga terbaik sama ada Kumpulan A, D, E atau F pada pusingan 16 pasukan terakhir di Sevilla pada 27 Jun ini.

Bagi Finland, kekalahan itu masih tidak menutup peluang mereka untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati dengan harapan muncul antara salah satu daripada empat pasukan tempat ketiga terbaik. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI