KOTA BHARU – Empat beranak yang tidak mampu menyewa rumah terpaksa menjadikan bangsal mengaji al-Quran yang uzur milik ahli keluarganya di Kampung Pulau Kundur di sini untuk dijadikan tempat mereka berteduh sejak empat tahun lalu.
Mohd. Kamarul Azam Husin, 37, bersama isteri, Atikah Azmi, 28, dan dua orang anak mereka tiada pilihan lain kerana pendapatannya sebagai buruh hanya sekadar cukup makan sehingga tidak dapat menyewa rumah.
Katanya, bagaimanapun, bangsal seluas dua buah bilik tidur itu sudah cukup buat mereka sekeluarga untuk tinggal kerana tidak mahu menyusahkan ahli keluarga yang lain.
“Bangsal ini asalnya tempat mengaji al-Quran oleh arwah nenek saya sejak 20 tahun lalu, namun ia sudah tidak digunakan sebelum saya dan keluarga berpindah ke sini, sebelum isteri melahirkan anak kedua kami.
“Sebelum ini, kami sekeluarga menetap di rumah ibu saya yang terletak bersebelahan bangsal nenek. Disebabkan sudah enam orang tinggal di situ, saya mengambil keputusan untuk berpindah ke bangsal ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Menurut Mohd. Kamarul Azam, selain ruang yang terhad, bangsal itu juga tiada tandas dan bekalan elektrik juga terpaksa dibuat sambungan dari rumah ibu selain bahagian lantai serta dinding hampir reput dimakan anai-anai.
Katanya, dia semakin runsing apabila sudah tidak dapat keluar bekerja sejak sebulan lalu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan.
“Sebelum ini, saya dapat memperoleh pendapatan sebanyak RM200 seminggu dengan melakukan kerja buruh membuat rumah. Wang itu sekurang-kurangnya mampu digunakan untuk membeli keperluan harian termasuk makanan kami sekeluarga.
“Saya kini sudah tiada langsung pendapatan. Ada juga saudara mara yang membantu kami. Penghulu Mukim Kampung Pulau Kundur, Rosli Mat Husin juga banyak membantu memberi bekalan keperluan asas,” katanya.
Sementara itu, Rosli berkata, dia sudah memaklumkan kepada Majlis Adat Dan Istiadat Melayu Kelantan (Maik) untuk mendapatkan bantuan kepada keluarga tersebut.
Orang ramai boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun Bank Islam Mohd. Kamarul Azam, 03036021095063 atau hubunginya di talian 011 -2569 4689.