SETAKAT artikel ini ditulis, seramai 15,248,934 rakyat Malaysia telah mendaftar bagi mendapatkan vaksin Covid-19.
Satu perkembangan yang baik menandakan tahap kesedaran rakyat kian meningkat, namun bukanlah satu angka yang sudah boleh dianggap memuaskan.
Mengikut laporan Jabatan Perangkaan, jumlah penduduk Malaysia dianggarkan 32.75 juta orang pada suku pertama 2021.
Bilangan penduduk lelaki berjumlah 16.83 juta dan wanita 15.92 juta. Ini bermakna, terdapat belasan juta lagi rakyat Malaysia yang sepatutnya divaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) masih belum mendaftar.
Malaysia memerlukan kira-kira 26 juta rakyatnya mendapatkan suntikan itu bagi mencapai sasaran imuniti berkelompok.
Terdapat beberapa pandangan mengenai mereka yang belum mendaftar antaranya golongan minoriti yang dilabelkan sebagai antivaksin.
Bagaimanapun majoritinya adalah berkisar tentang golongan bukan antivaksin yang bimbang akan kesan sampingan.
Kebimbangan itu seterusnya membawa kepada ‘polisi’ tunggu dan lihat dalam kalangan mereka yang masih was-was.
Hal ini yang perlu diberi lebih perhatian oleh semua.
Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya. Dr. Yahya Mat Arip berkata, mereka yang terlalu bimbang risiko mengenai kesan sampingan vaksin berkemungkinan tidak dapat maklumat yang tepat.
Katanya, golongan itu perlu memahami bahawa tiada satu vaksin mahupun ubat dalam dunia ini tiada risiko mungkin berlaku kesan sampingan.
“Sebagai contoh pening makan ubat paracetamol sedangkan risiko kesan sampingannya 2.19 peratus, manakala vaksin Covid-19 pula cuma 0.003 peratus.
“Isunya kita tidak dapat maklumat yang tepat bahawa risiko kesan sampingan adalah sangat rendah. Kebaikan vaksin Covid-19 melebihi risiko,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Yahya memberitahu, anggota masyarakat tidak sepatutnya terlalu fokus kepada risiko 0.003 peratus itu, sebaliknya memahami cara menguruskannya.
Ia termasuk memperoleh rehat dan makanan secukupnya sebelum menyuntik vaksin dan berehat selepas menerima suntikan.
Pensyarah Jabatan Kejuteraan Bioperubatan Universiti Malaysa, Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri berkata, mesej kebaikan vaksin Covid-19 perlu disampaikan secara kreatif dan efisien.
Kata beliau, mesej antivaksin di media sosial kadangkala jauh lebih berkesan dalam meyakinkan rakyat supaya berasa sangsi.
“Orang ramai juga perlu bersikap adil. Jangan hanya membaca maklumat menolak vaksin. Teliti info mengenai kebaikannya.
“Pihak berwajib perlu lebih kreatif dalam menyampaikan mesej kebaikan vaksin,” katanya.
Seorang pemimpin politik baru-baru ini memuji orang ramai yang memuat naik status menerima suntikan vaksin Covid-19 di media sosial.
Tindakan itu secara tidak langsung membantu meyakinkan mereka yang masih was-was untuk mendapatkan suntikan itu.
“Kita tahu masih ada yang ragu-ragu. Testimoni rakan-rakan, saudara mara yang telah ambil suntikan jadi dorongan.
“Saya seru lebih ramai yang telah divaksin berkongsi di media sosial,” katanya.
Saranan beliau itu tampak santai, tetapi mungkin juga pendekatan yang berkesan untuk meyakinkan orang ramai tentang suntikan vaksin.