fbpx

Rugi lebih RM1.89 juta angkara pelaburan tidak wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barangan yang berjaya dirampas menerusi serbuan di Lembah Klang, Kedah dan Johor.

KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan pelaburan tidak wujud yang bergerak atas nama skim pelaburan banker capital (BKC) dan skim pelaburan Wow Exchange OU tumpas dengan penahanan sembilan individu kelmarin.

Enam lelaki dan tiga wanita berusia 23 hingga 62 tahun itu ditahan dalam Ops Nuri 17/2021 di sekitar Lembah Klang, Kedah dan Johor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, pihaknya merampas pelbagai barangan antaranya telefon bimbit, kad bank, komputer riba dan set profil syarikat pelaburan banker capital.

“Kita merampas wang tunai dalam pelbagai mata wang. Setakat ini sembilan kertas siasatan dibuka berkaitan skim pelaburan ini membabitkan kerugian lebih RM1.89 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan mendapati sindiket itu menyasarkan warga tempatan dan menggunakan dua modus operandi yang berbeza bagi memperdaya mangsa.

Bagi skim BKC, pihak sindiket mempromosikan pelaburan dengan kadar keuntungan 100 peratus hingga 400 peratus daripada jumlah modal dilaburkan.

“Pelabur diberi keyakinan bahawa wang pelaburan mereka akan dilaburkan oleh syarikat BKC ke dalam sektor pelaburan di dalam atau luar negara yang berpotensi menjana keuntungan tinggi.

“Beberapa pakej pelaburan ditawarkan bermula daripada pakej trainee serendah AS$100 (RM414) hingga pakej capitalist yang bernilai AS$10,000 (RM41,470),” ujarnya.

Skim pelaburan “Wow Exchange OU” pula berasaskan mata wang kripto.

“Sindiket mempromosikan platform mata wang kripto dan juga e-wallet yang dinamakan sebagai token wowx yang dikatakan berdaftar dan berpusat di Singapura melalui Syarikat Wow Global Pte Ltd serta dalam proses untuk mendapatkan lesen daripada kerajaan Singapura.

“Pelabur diarahkan untuk membuat bayaran modal pelaburan ke beberapa akaun bank yang diarahkan oleh sindiket, namun akhirnya mangsa tidak memperoleh apa-apa pulangan daripada modal yang dikeluarkan untuk pelaburan ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI