fbpx

Wales enggan dabik dada selaku naib juara kumpulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GARETH Bale (kanan) dikawal ketat pemain pertahanan Itali, Alessandro Bastoni pada perlawanan terakhir peringkat Kumpuan A, Euro 2020 di Stadio Olimpico, Rom awal pagi semalam. – AFP

ROM – Kapten Wales, Gareth Bale enggan pasukannya mendabik dada selepas mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati saingan Euro 2020 berbekalkan status selaku naib juara Kumpulan A, sebaliknya mahu rakan-rakan sepasukan terus bekerja keras kerana banyak kelemahan perlu diperbaiki.

Terdahulu, Wales terpaksa akur dengan kekuatan Itali apabila tewas 0-1 pada aksi ter­akhir peringkat Kumpulan A di Stadio Olimpico, Rom awal pagi semalam, namun keputusan tersebut tidak menjejaskan kedudukan The Dragons sebagai naib juara.

Kata Bale, aksi menentang pasukan Itali sememangnya sukar kerana skuad kendalian Roberto Mancini itu memiliki kualiti tersendiri khususnya di benteng pertahanan selain memiliki rekod tanpa kalah di peringkat antarabangsa lebih dua tahun.

“Kita sudah jangka aksi yang mencabar akan diberikan oleh pasukan tuan rumah kerana mereka mempunyai momentum cukup cemerlang dan harus diakui kami beraksi de­ngan penuh tekanan pada perlawanan kali ini.

“Semua pemain memberikan tumpuan penuh sepanjang 90 minit dengan memberi lebih penekanan pada aspek pertahanan memandangkan kami bernasib baik kerana terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua.

“Apa yang pasti, saya berbangga dengan semangat yang dipamerkan oleh pasukan dan kini tumpuan perlu segera di­alihkan pada aksi pusingan kalah mati nanti kerana kami mele­takkan sasaran untuk me­langkah jauh pada kejohanan kali ini,” katanya.

Sementara itu, pemain te­ngah Wales, Aaron Ramsey berharap pasukannya lebih konsisten untuk aksi peringkat seterus­nya kerana dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku sekiranya tumpuan pemain terganggu.

“Saya rasa pasukan sepatutnya boleh meraih keputusan seri jika kekal beraksi dengan 11 pemain tetapi apa boleh buat, pengadil telah melayangkan kad merah dan keputusan itu perlu diterima. Apa yang pen­ting, pasukan perlu konsisten dan elak daripada melakukan kesilapan mudah pada aksi akan datang,” katanya.
– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI