SAXONY, Jerman – Penantian pelumba Repsol Honda, Marc Marquez akhirnya terlerai apabila menamatkan kemarau kemenangan dengan menjuarai Grand Prix (GP) Jerman selepas 581 hari.
Juara dunia enam kali dari Sepanyol itu telah menjalani pembedahan sebanyak tiga kali susulan kecederaan patah tulang humerus (tulang lengan) kanan akibat terlibat dalam insiden kemalangan di Grand Prix (GP) Sepanyol tahun lalu.
Keadaan tersebut menyebabkan Marquez terlepas sepanjang perlumbaan musim lalu dan kali terakhir dia muncul juara adalah di Grand Prix (GP) Valencia 17 November 2019.
Meskipun ramai meragui kehadirannya semula pada musim ini, namun Marquez mengakui tanpa sokongan padu orang sekeliling, dia tidak mampu untuk menaiki podium perlumbaan tersebut kelmarin.
Marquez mendedahkan bekas juara dunia lima kali MotoGP, Mick Doohan antara individu yang tidak putus-putus memberi sokongan dan membantunya ketika berdepan kesukaran untuk kembali mencari rentak terbaik.
“Saya mendapat panggilan telefon daripada Doohan dan saya tahu dia juga pernah mengalami situasi yang sama seperti saya pada tahun 1992 dan 1993.
“30 minit saya bercakap dengan Doohan dan menjelaskan semua masalah dihadapi.
“Ketika melintasi garis penamat, saya memikirkan individu-individu yang membantu saya sehingga kini. Bagi saya, sukar untuk berjuang sendirian dan memerlukan sokongan mereka.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Honda yang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada saya sehingga hari ini,” kata Marquez. – AGENSI