LONDON – Sejenis trend baharu yang memerlukan golongan lelaki ‘membela’ misai berganda mula mendapat perhatian di seluruh dunia dengan ramai lelaki dilihat mengikuti gaya tersebut, lapor akhbar Daily Star hari ini.
Gaya terkini itu menjadi popular selepas tular di media sosial sebelum ini yang memaparkan ramai lelaki mula menyimpan jambang dan misai ekoran perintah berkurung.
Gaya itu memerlukan seseorang lelaki menyimpan dua misai, satu pada bahagian kebiasaan iaitu di atas mulut, dan satu lagi pada bahagian bawah mulut.
Ini bermaksud lelaki perlu menyimpan jambang sehingga panjang dan lebat yang kemudiannya akan dicukur menjadi seakan-akan misai yang mempunyai bentuk sama seperti misai pada bahagian atas.
Meskipun trend itu menarik minat ramai lelaki, namun ada yang menyifatkan gaya tersebut sebagai aneh serta tidak kurang juga yang mengagumi usaha yang dilakukan untuk mendapatkan misai kedua.
Menurut Daily Star, seseorang yang ingin mendapatkan misai seperti itu pastinya mengambil masa yang lama serta usaha yang gigih termasuk menggunakan krim yang mahal, losyen dan pelbagai jenis minyak.
Apa yang penting, seseorang lelaki itu hendaklah mempunyai bulu wajah yang lebat bagi membolehkan mereka menyimpan misai seumpama itu. – AGENSI