fbpx

Sita sebab ganggu lalu lintas – MBSA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjelaskan tindakan menyita peralatan perniagaan yang dilakukan ke atas sebuah premis perniagaan di bawah cawangan Sungai Buloh semalam adalah disebabkan masalah lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, MBSA sebelum ini telah menegur dan memberi nasihat kepada peniaga terbabit supaya tidak meninggalkan peralatan selepas berniaga namun teguran itu langsung tidak diendahkan.

“Dalam tempoh dua bulan, pihak MBSA telah melakukan tindakan sitaan sebanyak dua kali terhadap peniaga yang sama namun peniaga tersebut masih lagi melakukan kesalahan dengan meninggalkan barangan perniagaan di tepi jalan.

“Dalam tempoh Perintahan Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), peniaga tersebut juga didapati berniaga di luar waktu operasi perniagaan yang ditetapkan melebihi pukul 12 tengah malam dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” kata kenyataan tersebut.

MBSA mengeluarkan kenyataan itu bagi mengulas video yang ditularkan berkaitan tindakan penyitaan ke atas barangan perniagaan yang dilakukan anggota penguat kuasa Pejabat Cawangan Sungai Buloh.

Dalam video yang tular sejak semalam itu, perakamnya mempertikaikan mengapa gerai-gerai yang dibuka di atas petak parkir pada sebelah pagi tidak dikenakan tindakan sedangkan mereka yang berniaga pada waktu petang di atas bahu jalan diambil tindakan.

Dalam operasi sama, MBSA turut melakukan sitaan ke atas sebuah premis yang meninggalkan barangan perniagaan dan sebuah premis yang menjual minuman serta rokok.

Tambah kenyataan itu, MBSA tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk kakitangan MBSA sekiranya terdapat salah guna kuasa atau isu berkaitan integriti.

MBSA menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan aduan jika mempunyai maklumat berkaitan dengan salah laku kakitangannya dengan menghantar e-mel ke [email protected] atau membuat panggilan ke talian 03-5510 5133 sambungan 1671. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI