PETALING JAYA – “Sebab itu bonda selalu berdoa biar bonda ‘pergi’ dulu sebelum ayah. Sebab tak boleh hidup dan tak seronok kalau tidak ada awak”.
Sebak, namun itulah doa dan ucapan penyanyi dan juga pelakon Elyana untuk suaminya, Khairul Anuar Hussin sempena sambutan Hari Bapa semalam.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 34, berkata, dia akan berasa tidak seronok andai ditakdirkan suaminya terlebih dahulu pergi menyahut panggilan Illahi.
“Selamat Hari Bapa. Bonda, Cinta dan Cahaya sangat sangat dekat ayah (panggilan untuk suami). Kalau ayah tidak ada, kami rasa tidak seronok. Mesti nak kena ada ayah. Sebab ayah adalah adiwira kami,” ujarnya.
Elyana yang kini sedang menjalani rawatan radioterapi di hospital juga sempat berseloroh apabila memberitahu, suaminya bukanlah seorang yang pandai dalam bab bertukang di rumah.
“Semua ayah boleh buat kecuali pasang kabinet, katil dan apa sahaja yang melibatkan skru. Memang ayah tidak pandai. Nasib baik bonda hebat bab itu.
“Sebab itu bonda selalu doa biar bonda pergi dulu daripada ayah, Sebab tak boleh hidup dan tak seronok kalau tak ada awak,” tulisnya dalam Instagram.
Ucapan pelantun lagu Tak Tercapai Akalmu itu kemudiannya dibalas suaminya apabila turut meluahkan rasa sayang kepada Elyana serta dua orang anak mereka.
“Ayah pun sayang kamu bertiga. Semoga Allah SWT makbulkan doa ayah. Kau maha penyembuh YaAllah dan kau juga yang menyembuhkan. Amin,” tulis Khairul.
Ucapan oleh Elyana itu sekali gus membuatkan rata-rata peminat berasa sayu. Masing-masing mendoakan agar penyakit kanser limfoma yang dihidapinya sejak hampir 10 tahun lalu beransur hilang dan dia dapat menjalani kehidupan seperti biasa semula.
“Sedih bila baca ayat Elyana. Semoga awak kuat. Kita sebaya lahir tahun 1987. Dari dulu memang minat sangat dengan Elyana,” komen salah seorang pengikutnya.
Menerusi satu hantaran berbeza, Elyana juga tidak ketinggalan menitipkan ucapan dan doa sempena Hari Bapa untuk ayahnya.
“Lelaki pertama yang aku kenal. Lelaki pertama yang memelukku. Lleaki pertama yang menyuapku makan, Lelaki pertama yang menyayangiku sepenuh hati sehingga ke hari ini dan selamanya.
“Nana (panggilan Elyana) banyak belajar tentang kehidupan daripada papa. Dulu banyak yang Nana tidak setuju, tapi sekarang baru Nana faham kenapa papa buat begitu,” katanya.
Dalam pada itu, Elyana turut mengucapkan terima kasih kepada bapanya kerana telah membesarkannya bersama adik-beradik lain dengan baik walaupun hidup secara sederhana.
“Ya Allah, panjangkanlah umur papa, kau berikanlah dia kesihatan terbaik, lancarkanlah kehidupannya dan bahagiakanlah dia. Nana sayang papa,” ucapnya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Elyana kini menjalani rawatan radioterapi bermula 16 Jun lalu selama 10 hari sebagai satu cara melawan penyakit kanser limfoma tahap lima yang dihidapinya. – K! ONLINE