fbpx

Xherdan Shaqiri bantu Switzerland benam Turki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
XHERDAN Shaqiri (kanan) meraikan jaringan kedua Switzerland ketika menewaskan Turki 3-1 pada saingan terakhir Kumpulan A, Euro 2020 di Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan sebentar tadi. - AFP

BAKU – Pasukan Switzerland mempamerkan belang sebenar selepas berjaya meraih kemenangan pertama pada kempen Euro 2020 dengan menewaskan Turki 3-1 pada aksi terakhir Kumpulan A sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Olimpik Baku itu, skuad Switzerland yang dikendalikan oleh Vladimir Petkovic tidak menunggu lama untuk meraih kelebihan hasil ledakan cantik Haris Seferovic seawal minit ke-6.

Enggan menoleh ke belakang, Switzerland terus mengasak kubu Turki dalam usaha memburu gol dan usaha keras pasukan ranking No. 13 dunia itu membuahkan hasil apabila Xherdan Shaqiri menjaringkan gol kedua pada minit ke-26.

Tersentak dengan gol tersebut, Turki memperkemaskan jentera serangan dalam usaha merapatkan jurang tetapi keputusan 0-2 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Turki akhirnya berjaya meraih gol yang dicari menerusi rembatan Irfan Can Kahveci yang menyudahkan hantaran Hakan Calhanoglu pada minit ke-62.

Namun, semangat pasukan Turki sekali lagi direntap oleh Shaqiri selepas bintang kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool itu terus membuktikan ketajaman dengan meledak gol kedua peribadi berselang enam minit kemudian hasil serangan balas pantas.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi gagal menambah sebarang jaringan sekali gus menyaksikan kemenangan berpihak kepada Switzerland dengan keputusan 3-1.

Kemenangan tersebut bagaimanapun masih belum dapat mengesahkan tiket pasukan Switzerland ke pentas kalah matih selepas menduduki tangga ketiga Kumpulan A dengan empat mata daripada tiga perlawanan.

Lebih parah, Switzerland hanya dibezakan dengan perbezaan gol dengan pasukan di tangga kedua, Wales yang turut mengumpul empat mata.

Bagaimanapun, peluang Switzerland untuk mara ke pusingan kalah matih masih ada tetapi perlu menunggu tamat saingan semua aksi peringkat kumpulan kerana empat pasukan ketiga terbaik akan turut layak secara automatik. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI