fbpx

Pilih calon minat jadi guru, ada kualiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) perlu teliti dan memilih calon yang benar-benar berkualiti dan meminati profesion perguruan bagi program pengambilan khas guru secara one-off yang diumumkan semalam.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, kerajaan perlu memilih siswazah dalam bidang pendidikan yang berkua­liti dan sememangnya minat dalam bidang perguruan ini.

“KPM perlu teliti, hanya tawarkan kepada calon yang be­tul-betul berkualiti dan minat untuk mengajar. Saya tahu ada dalam kalangan siswazah bidang pendidikan ini yang tidak berminat untuk mengajar, jadi calon-calon seperti ini kita perlu tapis.

“Ketika ini memang ramai calon yang berkelayakan, KPM perlu utamakan calon pilihan yang berkualiti terlebih dahulu,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman yang dibuat Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin bagi prog­ram pengambilan khas guru secara one-off melibatkan 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 sekali gus menyelesaikan masalah kekurangan guru di negara ini.

Jelas Radzi, iklan pengambilan khas tersebut akan dikeluarkan pada 7 Julai depan dengan penempatan secara berperingkat akan bermula pada Oktober nanti di beberapa negeri yang kekurangan tenaga pengajar.

Antara negeri yang mengalami kekurangan tenaga pengajar termasuk Sabah, Sarawak, Se­langor serta Johor.

Sementara itu, tambah Aminuddin lagi, program pengambilan khas guru secara one-off ini juga secara tidak langsung boleh mengurangkan masalah pengangguran siswazah dalam bidang pendidikan selama ini.

“Hampir setiap tahun siswazah jurusan pendidikan dari institusi pengajian tinggi tempatan gagal mendapat tempat sebagai pendidik dan jumlah itu semakin bertambah dan membimbangkan.

“Justeru itu program ini, akan atasi masalah pengangguran dalam kalangan siswazah pendidikan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI