SEVILLE – Pasukan Poland boleh menarik nafas lega apabila perjuangan mereka pada kempen Euro 2020 masih belum berakhir apabila berjaya merekodkan keputusan seri 1-1 ke atas Sepanyol dalam aksi peringkat kumpulan di Stadium La Cartuja awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, skuad Poland bangkit selepas ketinggalan hasil jaringan penyerang lawan, Alvaro Morata sebelum kapten pasukan, Robert Lewandowski menyamakan kedudukan pada babak kedua.
Lewandowski mengakui sangat puas menyaksikan komitmen pasukan dalam usaha mencuri satu mata berharga ke atas pasukan pilihan seperti Sepanyol yang mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri.
“Kami bermain dengan cukup baik pada aksi kali ini berbanding ketika bertemu Slovakia meskipun ada beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki. Namun, strategi yang dirancang oleh pasukan agak menjadi dan kami harap dapat tampil cemerlang pada aksi terakhir nanti,” katanya.
Sementara itu, pemain pertahanan Poland, Kamil Glik mengakui teruja dapat mengekang asakan jentera serangan La Roja dalam memastikan mereka kecewa sekali gus gagal tidak mengutip tiga mata penuh.
“Tidak keterlaluan untuk saya katakan aksi bertemu Sepanyol kali ini adalah prestasi terbaik dalam karier saya. Secara jujur, perjuangan Poland baru sahaja bermula dan kami akan memberikan sepenuh tenaga pada aksi terakhir bertemu Sweden nanti,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pemain tengah Poland, Kacper Kozlowski menjadi pemain termuda beraksi pada saingan Euro yang sebelum ini dipegang oleh bintang England, Jude Bellingham selepas dimasukkan sebagai pemain gantian pada usia 17 tahun. – AGENSI