PETALING JAYA – Enam lagi lokaliti melibatkan lima kawasan di Sabah dan satu kawasan di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) berkuat kuasa Selasa ini sehingga 5 Julai depan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Sabah membabitkan Kampung Skim Pamalan, Keningau; Kampung Jaya Baru, Kunak; Taman Wijaya, Kota Kinabalu; Kampung Serudung Baru, Tawau dan Kampung Ladang Brumas, Kalabakan.
“Turut dikenakan PKPD satu lokaliti di Mentakab, Pahang melibatkan lima taman perumahan iaitu Taman Bukit Bendera, Taman Rimba, Taman Sri Layang, Taman Saga dan Taman Saga Indah.
“Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan kes Covid-19 di kawasan tersebut dengan pelaksanaan PKPD bertujuan menyekat pergerakan dan penularan
jangkitan wabak dari kawasan berisiko,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, PKPD di Kampung Pulutan, Nabawan, Sabah yang sepatutnya berakhir esok akan dilanjutkan sehingga 5 Julai depan berikutan masih terdapat jangkitan baharu direkodkan.
Sementara itu, Ismail turut mengumumkan penamatan PKPD melibatkan enam lokaliti di Sabah iaitu Kampung Murni C, Nabawan; Kampung Tamalang serta Kampung Tuguson, Kota Belud; Kampung Bergosong, Tawau; Pangsapuri Taman Permata, Sandakan dan Kampung Ongkilan, Kota Marudu.
Manakala, PKPD meliputi empat lagi lokaliti di Kuantan Pahang, Pahang turut tamat seperti dijadualkan esok iaitu Kampung Jaya Gading, sebahagian Kampung Seri Damai, Bandar Jaya Gading dan Kawasan perindustrian Gebeng. – K! ONLINE