fbpx

APMM rampas 50 bubu naga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
APMM merampas 50 bubu naga semasa operasi di sekitar perairan Penaga di Kepala Batas semalam.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) merampas sebanyak 50 set bubu naga dalam serbuan di empat lokasi di sekitar satu batu nautika barat pesisir pantai Penaga, Kepala Batas dekat sini semalam.

Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, rampasan itu dibuat semasa pihaknya melakukan rondaan rutin Op Pertiwi/Benteng Laut sekitar pukul 4.20 hingga 5.20 petang.

Beliau berkata, pasukannya mengesan beberapa pelampung di permukaan air yang mencurigakan dan disyaki penanda bubu naga semasa tugasan rondaan itu.

“Pemeriksaan di keempat-empat lokasi berjaya mengesan bubu naga yang dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab.

“50 set bubu naga yang bernilai hampir RM6,000 itu kemudiannya dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan kerana penggunaan bubu naga adalah diharamkan.

Beliau berkata, orang ramai boleh membuat sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut dengan menghubungi talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-262 6146. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI