PETALING JAYA – Seorang anggota bomba di lokasi kebakaran sebuah rumah di Lawas, Sarawak diserang seorang lelaki yang dipercayai tidak berpuas hati dan mendakwa bomba tiba lewat di lokasi kejadian.
Menerusi satu rakaman video berdurasi 54 saat, lelaki tersebut dilihat berlari ke arah anggota bomba tersebut sebelum menumbuknya, menyebabkan anggota berkenaan terjatuh di atas tanah.
Rata-rata pengguna laman Facebook terkejut dan berang dengan tindakan individu tersebut mencederakan anggota bomba berkenaan.
Menurut pengguna bernama Mohdnor Basa, mereka yang marah dengan anggota bomba tersebut seolah-olah tidak tahu bersyukur dengan pertolongan diberikan pihak bomba.
“Dasar tidak tahu bersyukur. Pasukan bomba sedang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran tetapi ditumbuk pula. Apa pun, terbaik anggota bomba,” katanya di ruangan komen.
Pengguna lain dengan nama Kejora Jore berkata, dia berharap agar individu yang menyerang anggota bomba tersebut dikenakan tindakan.
“Jika balai bomba di sebelah rumah mereka, bolehlah pihak bomba tiba dalam waktu yang sekejap. Ini balai bomba jauh. Ini tidak, pasukan bomba sudah tiba dan beri pertolongan pun diserang. Saya harap mereka ini diambil tindakan kerana menyerang anggota bomba semasa bertugas,” jelasnya.
Pengguna bernama Mi Gas pula berkata, mereka perlu bertimbang rasa kepada anggota bomba yang datang untuk membantu memadamkan kebakaran tersebut.
“Biadab sungguh sikap orang yang begitu. Mereka ingat jika telefon bomba pada waktu itu terus sampai ke? Jika jauh jarak antara balai dan tempat kebakaran, lagi sukar untuk mereka tiba. Kasihanlah pada pasukan penyelamat itu, mereka juga ada hati dan perasaan,” ujarnya. – K! ONLINE