LONDON – Pemain bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo mendedahkan rahsia awet muda dan kecergasannya adalah mendapatkan rehat cukup, makanan seimbang dan tidur yang cukup, lapor majalah Men’s Health, baru-baru ini.
Menurut Ronaldo, rutin hariannya selepas berakhirnya satu-satu perlawanan bola sepak adalah dengan berehat secukupnya menjadi penyumbang utama kepada kemampuannya bermain seperti di zaman remajanya.
“Saya sudah berusia 36 tahun tapi tahap kecergasan saya masih seperti ketika berusia 20 tahun.
“Rahsia saya adalah rehat yang cukup selepas setiap perlawanan, makanan seimbang dan tidur yang cukup. Nampak ringkas tetapi ramai yang gagal mendisiplinkan diri melakukannya,” katanya.
Ronaldo diketahui mengamalkan diet makan enam kali makan setiap hari.
Beliau biasanya mengambil dua hidangan makan tengah hari dan dua hidangan makan petang.
Menu kegemarannya adalah berasaskan ikan tuna, haddock, kod atau beralih ke stik serta ayam sekali sekala.
Jumlah pengambilan tenaga untuk sehari biasanya sekitar 3,200 kalori dengan harga bagi semua bahan menyediakan hidangan bintang itu adalah AS$121 (RM500) seminggu. – Agensi