KUALA LUMPUR – Gara-gara melakonkan watak antagonis Nurul Ain, pelakon Wafariena mengakui dikecam teruk oleh peminat drama rantaian terkenal 7 Hari Mencintaiku 2 di laman sosial.
Wafariena atau nama sebenarnya Wafariena Roslan, 25, memberitahu, rata-rata penonton drama popular tersebut meluahkan kebencian terhadap watak Nurul Ain menerusi komen dan mesej dalam semua akaun media sosial miliknya.
Katanya, kata-kata kesat dan maki hamun memang banyak diterima tetapi yang paling teruk ialah gambar kaki yang seolah-olah memijak wajah Nurul Ain pada skrin televisyen.
“Saya pernah dimarahi seorang wanita yang boleh dipanggil mak cik. Kejadian tersebut berlaku di restoran. Dia menuduh saya sebagai wanita perampas Khuzairi (watak Shukri Yahaya). Saya memang terkejut tetapi selepas cuba bertenang, saya okey.
“Saya berasa puas sebab kejahatan dalam diam si Nurul Ain dapat dirasai semua penonton. Namun, ingin saya tegaskan di sini, yang jahat bukan saya tapi hanyalah watak tersebut,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Bagaimanapun, pelakon berdagu belah itu tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya kecaman dan ugutan yang diterimanya semakin teruk.
“Saya ada juga terima kata-kata berbaur ugutan seperti ingin menyimbah asid ke muka. Saya risau juga kalau mereka betul-betul berniat begitu. Saya sedar, taksub cara orang zaman ini lain macam.
“Apa pun, saya akan sentiasa berjaga-jaga dengan segala kemungkinan dan berharap tidak berlaku sebarang perkara teruk kepada saya,” ujarnya.
Berkongsi tentang drama tersebut, pada awalnya Wafariena tidak menyangka watak Nurul Ain itu akan memberi impak besar kepada penonton drama itu.
“Di sebalik semua kecaman itu, syukur kerana Nurul Ain menjadi trending dalam Twitter dan lakonan saya ditonton ramai walaupun hanya memegang watak sampingan,” katanya.