PETALING JAYA – Hasrat pelawak dan pengacara Nabil Ahmad untuk menimang cahaya mata keempat tidak kesampaian apabila isterinya mengalami keguguran beberapa hari lalu.
Perkara berkenaan dikongsikan sendiri isterinya, Nazirah Ayub menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagramnya semalam.
Dalam video berkenaan, Zira diraikan Nabil dan anak-anaknya sempena sambutan hari lahirnya yang ke-33.
“Salah satu sambutan hari lahir paling bermakna. Ingatkan tambah lagi ahli keluarga, tapi tak ada rezeki pula.
“Insya-Allah ada rezeki lain kali, kita kena cuba lagi @nabilzira. Allah adalah sebaik-baik perancang. Terima kasih banyak-banyak daddy (Nabil), Mika, Babyna, Mishall dan kawan-kawan yang hantar hadiah macam-macam, terima kasih,” tulis Zira.
Terdahulu, Nabil dan isterinya mendirikan rumah tangga pada 30 September 2011 dan dikurniakan tiga anak perempuan iaitu Naira Mikayla, 9, Layla Medyna, 6 dan Mishall Imani, 2. – K! ONLINE