IPOH – Cubaan tiga lelaki untuk membawa keluar hasil sawit yang ditanam secara haram di kawasan Hutan Simpan Bubu, Manjung gagal selepas mereka ditahan penguat kuasa Pejabat Renjer Hutan Beruas semalam.
Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) dalam satu kenyataan memberitahu, ketiga-tiga suspek berusia 19 hingga 49 tahun itu ditahan dalam satu serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi.
Menurut kenyataan itu, serbuan itu dibuat semasa pasukan penguat kuasa menjalankan rondaan di kawasan berkenaan dan menemui tiga individu tersebut.
“Semasa diserbu mereka sedang mengambil buah kelapa sawit yang ditanam secara haram di Kompartmen 62, Hutan Simpan Bubu.
“Ketiga-tiga individu tersebut telah ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bagi siasatan lanjut,” kata kenyataan tersebut.
Turut dirampas ialah sebuah lori tiga tan, sebuah motosikal, dua batang ‘loading’ sawit, sebatang cangkuk sawit dan sebilah parang.
Kesemua barang-barang kes telah disita dan dibawa ke Stor Rampasan JPNPk manakala ketiga-tiga suspek telah dilepaskan dengan jaminan polis setelah keterangan mereka diambil.
Semakan rekod JPNPk pula mendapati aktiviti penerokaan hutan secara haram di kawasan Kompartmen 62, Hutan Simpan Bubu ini telah berlaku sejak tahun 2010 lagi dan melibatkan kawasan seluas 45 hektar.
Kesemua suspek yang terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 81(1)(g) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 dan dihukum sehingga RM10,000, penjara atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, dalam satu kes berasingan, Pejabat Renjer Hutan Batu Gajah telah menerima aduan berhubung cubaan menceroboh hutan simpan di sebahagian Kompartmen 91, Hutan Simpan Kledang Saiong di sini Jumaat lalu.
JPNPk memaklumkan, ketika tinjauan dibuat di lokasi tersebut, pasukan penguat kuasa menemui sebuah jentolak dipercayai digunakan bagi tujuan pencerobohan hutan tersebut.
Bagaimanapun, tiada tangkapan semasa serbuan kerana mereka yang terlibat dipercayai telah melarikan diri setelah menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa. – K! ONLINE