PENGALAMAN mewakili Malaysia bersama penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Safawi Rasid tidak dapat dibeli dengan wang ringgit kepada pemain e-Sukan profesional negara, Wan Muhammad Hakimm Wan Narizan.
Pemuda dari Kangar, Perlis itu bergandingan dengan Safawi, 23, membawa cabaran negara pada Piala Stay and Play eNations FIFA menentang Jepun dan Taiwan dalam saingan Zon Timur Kumpulan A pada April lalu.
Hakimm terpilih untuk menjadi beregu bintang Harimau Malaya itu setelah muncul juara pertandingan permainan video FIFA Malaysia National eChallenge anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada April lalu.
“Ia satu pengalaman yang cukup berharga sebab bukan selalu dapat wakil Malaysia ke pertandingan antarabangsa bersama pemain bola sepak profesional seperti Safawi.
“Safawi hebat juga bermain FIFA. Kami kalah mungkin disebabkan pemain-pemain negara lain sebenarnya jauh lebih bagus daripada kami,” kata Hakimm yang menggunakan nama samaran permainan P3rlisTeamJr.
Walaupun berbeza pentas, namun ia tidak menghalang pemain berusia 22 tahun itu untuk memasang impian menjadi sehebat Safawi yang cukup terkenal di Asia atas beberapa kejayaannya bersama JDT dan Harimau Malaya.
Safawi pernah dinobatkan sebagai penjaring lencongan terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 dan namanya juga beberapa kali disenaraikan antara pemain muda terbaik di dunia oleh laman-laman sosial bola sepak antarabangsa.
Kehebatan Safawi bersama JDT dan Harimau Malaya pernah menyaksikan bekas kelab Tomas Rosicky serta Petr Cech iaitu Sparta Praha dari Republik Czech dan juara 12 kali Liga Super Switzerland, FC Zurich cuba memancing khidmatnya.
Justeru, Hakimm yang berada di bawah naungan Orange Esports, bertekad untuk memahat namanya sebagai antara pemain permainan video (gamer) terbaik di Asia kerana baginya, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.
“Saya pernah beberapa kali mewakili Malaysia sebelum ini, contohnya untuk FIFA Online 3 ke Piala Asia 2015 di Korea Selatan dan Kejuaraan Asia Tenggara 2016 di Vietnam tetapi saya cuma dapat mara ke kelompok lapan terbaik sahaja.
“Impian saya sememangnya mahu terus wakil Malaysia dan menang pada kejohanan-kejohanan besar supaya dapat mengharumkan nama negara di peringkat tertinggi.
“Ada seorang gamer dari Jepun, boleh kata dia paling padu di Asia sehingga mendapat tajaan daripada syarikat Eropah. Kalau saya mahu jadi seperti dia, saya perlu tawan Asia dahulu,” jelasnya.
Walaupun cuma bermain sukan maya tetapi tidak bermakna gamer-gamer FIFA tiada peluang dilamar kelab-kelab bola sepak elit Eropah seperti Subaru Sagano dari Jepun yang kini mewakili FC Nurnberg di Jerman.
Malah, Malaysia juga pernah menyaksikan Nur Amirul Afandi atau lebih dikenali sebagai AmTuah mewakili kelab Jerman, Schalke 04 sebelum menutup kariernya dengan menjuarai Kejohanan Gamery La Liga di Madrid, Sepanyol tahun lepas. – K! ONLINE