BRNO – Pelumba pasukan Reale Avintia Racing, Johann Zarco melakar kejutan apabila menempah petak depan pada perlumbaan Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno hari ini.
Bekas pelumba Yamaha Tech 3 itu menampilkan tunggangan mantap pada sesi kelayakan sekali gus menafikan petak depan buat pelumba Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo.
Bagaimanapun, Zarco sememangnya menjadi tumpuan pada sesi kelayakan tersebut memandangkan dia turut melakukan catatan masa terbaik pada sesi latihan bebas keempat.
Lebih manis, keputusan itu menyaksikan Zarco mendapat petak depan pertamanya sejak GP Perancis di Litar Le Mans dua tahun lalu ketika masih bersama Yamaha Tech 3.
Keputusan itu menyaksikan perlumbaan sengit disajikan hari ini apabila beberapa keputusan di luar jangkaan dicatatkan pada sesi latihan bebas dan kelayakan.
Sementara itu, Quartararo terpaksa berpuas hati di petak kedua meskipun hampir pasti memulakan perlumbaan di petak depan sebelum dirampas Zarco pada penghujung sesi kelayakan.
Usaha pelumba dari Perancis itu untuk merampas petak depan daripada rakan senegaranya itu tidak kesampaian apabila dia terjatuh ketika cuba mengejar.
Pada masa sama, seorang lagi pelumba Petronas Yamaha SRT, Franco Morbidelli juga akan bermula di barisan depan selepas menamatkan sesi kelayakan di petak ketiga. – K! ONLINE