JAKARTA – Penyanyi popular, Agnez Mo membangunkan sebuah klinik khusus untuk pemberian vaksin dan penyembuhan Covid-19, lapor laman berita Liputan 6 kelmarin.
Agnez Mo atau nama sebenarnya Agnez Monica Muljoto bekerjasama dengan puluhan tenaga kerja kesihatan dan ratusan sukarelawan untuk membangunkan klinik itu yang terletak di Ancol Timur, Jakarta Utara.
Perkara itu diumumkan penyanyi berusia 34 tahun itu menerusi satu muat naik video di Instagramnya. Dalam video itu, Agnez Mo dapat dilihat sedang mengunjungi klinik tersebut.
“Saya ingin menunjukkan klinik yang sedang kami bangunkan supaya anda boleh menerima suntikan vaksin anda,” katanya.
Biarpun hanya sebuah klinik, penyanyi itu memberi jaminan bahawa ia mempunyai kemudahan yang serba lengkap.
“Klinik yang kami bangunkan ini mempunyai kemudahan lengkap. Ia bukan sahaja mempunyai ruang suntikan vaksin malah turut dilengkapi ambulans, ruang kecemasan makmal dan lain-lain,” tulisnya.
Klinik itu juga menyediakan makanan bagi mereka yang tidak sempat bersarapan di rumah sebelum mendapatkan suntikan vaksin supaya kekal sihat dan bertenaga.
Kata Agnez Mo, usaha membangunkan klinik itu adalah sebagai tanda sokongan terhadap kerjasama kerajaan dan swasta dalam menjayakan program vaksinasi negara itu. -Agensi