KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar bahagian belakang sebuah lori di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Batu Caves di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu, mangsa, Saidi Suhdi, 63, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 7.40 pagi.
“Siasatan awal mendapati, pada pukul 6.40 pagi, pemandu lori yang berusia 45 tahun dari arah Bandar Manjalara menghala ke Bulatan Batu Caves telah menghentikan kenderaan di tepi jalan akibat kerosakan.
“Tidak sampai 10 minit pemandu itu menghentikan lori, mangsa telah melanggar bahagian belakang sisi kanan kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata Zulkefly, pelanggaran terbabit menyebabkan mangsa tercampak ke tengah jalan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE