PETALING JAYA – “Tak sabar nak tunggu awak besar dan pandai kecek Kelate (bercakap dialek Kelantan).”
Itu keterujaan yang dikongsi pelakon Mawar Rashid yang mahu anak perempuannya, Raden Seri Rosabella Cinta membesar dan mampu mewarisi niai-nilai warisan keturunan keluarganya.
Mawar dalam satu hantaran Instagram berkata, dia mahu anaknya petah bertutur dalam dua bahasa dan satu dialek negeri iaitu Thailand, Indonesia dan Kelantan.
“Hai kawan baik saya (anak perempuan). Tak sabar nak tunggu awak membesar.
“Pandai bercakap dalam dialek Kelantan, bahasa Siam dan Indonesia kerana ayahnya ada darah Indonesia,” tulis bekas peserta Dewi Remaja 2014/2015 itu dalam entri tersebut.
Sebagai info, Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 26, berdarah campuran Siam dan ahli keluarga sebelah ibunya pula berasal dari Chiang Mai, Thailand.
Terdahulu, Mawar mendirikan rumah tangga dengan Raden Ahmad Faizal Yaakob atau Raf pada November 2017.
Pasangan itu dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Raden Muhammad Rafael, 2, dan Raden Seri Rosabella Cinta yang kini berusia lima bulan. – K! ONLINE