fbpx

Israel mahu jalin hubungan dengan Malaysia, Indonesia, Brunei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Duta Israel di Singapura, Sagi Karni bersedia menjalin hubungan dengan tiga negara Muslim di Asia Tenggara. - Wikimedia Commons

TEL AVIV – Duta Israel di Singapura menyatakan Israel bersedia menjalin hubungan baik dengan tiga negara Islam di Asia Tenggara, lapor akhbar The Jerusalem Post kelmarin.

Tiga negara dengan majoriti penduduk beragama Islam di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei pernah mengecam serangan 11 hari Israel ke atas Semenanjung Gaza yang mengorbankan lebih 250 warga Palestin.

Malaysia, Indonesia dan Brunei menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya campurtangan untuk menghentikan ‘serangan tidak berperikemanusiaan ke atas penduduk Palestin’.

Tiga negara itu tidak mempunyai apa-apa pertalian rasmi dengan Israel dan berulang kali meminta penjajahan ke atas wilayah Palestin di Tebing Barat oleh Rejim Zionis ditamatkan.

Duta Israel ke Singapura, Sagi Karni berkata, kritikan daripada pemimpin tiga negara itu adalah ‘tidak jujur’ dan ‘tidak berasaskan keadaan sebenar konflik’ yang disifatkan Karni sebagai konfrontasi antara Israel dengan Hamas dan bukannya Israel terhadap semua warga Palestin.

“Hamas adalah sebuah organisasi anti-Yahudi  dan saya tidak tahu berapa ramai individu di media sosial yang benar-benar faham betapa radikal dan fasisnya Hamas,” katanya.

Beliau berkata, satu-satunya cara untuk mempunyai pengaruh besar ke atas apa yang berlaku di Asia Barat adalah dengan mewujudkan hubungan dengan Israel.

“Kami bersedia untuk berbincang dan bertemu. Saya tidak fikir pemimpin negara-negara itu sukar untuk menghubungi kami,” katanya.

Israel mempunyai kedutaan di negara-negara lain di Asia seperti Vietnam, Thailand, Myanmar dan Filipina.

Empat buah negara Arab iaitu Emiriyah Arab Bersatu, Bahrain, Sudan dan Maghribi bersetuju menjalin hubungan diplomatik dengan Israel di bawah perjanjian yang ditaja oleh Amerika Syarikat. -Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI