LARUT – Enam pusat pemberian vaksin (PPV) bakal dibuka Julai ini bagi meningkatkan jumlah pendaftaran penerima suntikan untuk penduduk luar bandar di negeri ini.
Antaranya ialah di Dewan Permai Selama, Dewan Majlis Daerah Gopeng, Dewan Inderawati di Beruas, Dewan Besar Felcra Seberang Perak, Dewan Merdeka Lenggong dan Dewan Sungai Siput.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Sains Alam Sekitar negeri, Mohd. Akmal Kamaruddin berkata, setiap PPV ini boleh menampung sehingga 400 penerima vaksin.
Katanya, kecuali Dewan Inderawati Beruas kapasitinya adalah seramai 600 orang.
“Ini menjadikan jumlah yang menerima suntikan setiap hari di enam dewan ini seramai 2,600 orang.
“Sehingga 16 Jun lalu, seramai 233,298 orang telah menerima suntikan vaksin dos pertama manakala 138,403 telah lengkap menerima dos kedua di seluruh Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan kerja di Klinik Kesihatan (KK) Sungai Bayor disini hari ini.
Sementara itu Mohd. Akmal berkata, program outreach yang dilaksanakan di Klinik Kesihatan Sungai Bayor di Selama mendapat sambutan yang menggalakkan. -K! ONLINE