fbpx

Cemas disedut mulut puaka di tiang Jambatan Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUNGKIN beginilah situasi cemas nelayan yang cuba disedut pusaran air besar yang muncul bersama mulut puaka seorang wanita tua yang marah di salah satu lokasi tiang Jambatan Pulau Pinang. ILUSTRASI SHAH HASAN

KISAH 20 nelayan cemas disedut pusaran air besar di salah satu lokasi tiang Jambatan Pulau Pinang kira-kira 17 tahun lalu menjadi bualan penduduk tempatan hingga ke hari ini.

Ia sebahagian daripada kisah misteri dan mistik dikaitkan dengan jambatan tersebut.

Menangkap ikan di kawasan jambatan itu menjadi salah satu lokasi kegemaran ramai termasuk nelayan kerana ia memberikan hasil terbaik setiap kali turun ke situ.

Menurut seorang nelayan yang mahu dikenali sebagai Aziz, 50-an, menurut ceritanya, pada masa kejadian di waktu malam itu, cuaca tenang tiba-tiba bertukar hujan dan diselang seli dengan ribut.

Katanya, nelayan yang ketika itu leka menaikkan hasil tangkapan tidak mengesyaki apa-apa kerana bagi mereka, situasi sedemikian lumrah sebagai penangkap ikan.

“Tiba-tiba keadaan berubah, ribut menjadi semakin kuat. Tidak lama kemudian, muncul pusaran air besar bersama bayang mulut puaka seorang wanita tua yang marah tidak jauh dari salah satu tiang jambatan.

“Ia cuba menyedut mereka yang ada di situ. Suasana panik dan cemas berlaku beberapa minit sebelum ia kembali reda. Syukur kerana semua selamat,” katanya.

Kata Aziz, pada hari kejadian, kebetulan dia tidak ke laut kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya dan terlantar di hospital.

“Sepupu saya antara nelayan terlibat. Apabila ditanya, dia cuma beritahu ada ribut kuat dan tidak ingat apa-apa selepas kejadian,” kata bapa kepada lima orang anak itu.

Tidak terhenti di situ, masih ada kisah mistik ‘menghantui’ jambatan yang menjadi ikon Pulau Mutiara itu sejak 36 tahun lalu. Antara yang popular adalah kisah buaya putih dan Tiang Mulut Puaka.

Menurut cerita orang lama, seekor buaya putih dikatakan menjadi ‘penunggu’ jambatan yang dibina antara tahun 1982 hingga 1985 itu.

Seorang penduduk tempatan, Shamsul Azhar Sulaiman, 44, berkata, mengutip cerita daripada orang tua di situ, kononnya di awal pembinaan jambatan itu, satu ritual pemujaan yang memerlukan korban manusia dilaksanakan bagi memastikan kerja-kerja berjalan lancar.

 

KONONNYA ada tiang di bawah Jambatan Pulau Pinang disumbat dengan kepala manusia yang menjadi korban seekor buaya putih.

Katanya, ritual setiap kali bulan mengambang itu dikatakan dilakukan berikutan satu perjanjian dengan buaya putih melalui seorang pawang yang bertindak sebagai orang perantaraan.

“Tidak hairan jika ada pekerja meninggal dunia sepanjang proses pembinaan jambatan itu dikaitkan sebagai mangsa korban ritual itu.

“Dikhabarkan, ada tiang yang dibina di bawah jambatan pada waktu itu dikatakan turut disumbat dengan kepala manusia yang menjadi korban buaya putih,” jelasnya.

Antara kisah tiang popular adalah tiang ke-52, walaupun ada juga mendakwa tiang sumpahan digelar Tiang Mulut Puaka itu merupakan tiang ke-56 dan 82.

Difahamkan, setiap tiang ditandakan dengan nombor untuk memudahkan kerja-kerja pengiraan semasa membina jambatan.

Ujar Shamsul Azhar, kononnya sesiapa melalui tiang itu terutamanya ketika bulan mengambang seolah-olah terkena sumpahan dan dipukau untuk terus terjun ke laut.

Ujarnya lagi, dia dimomokkan dengan cerita buaya putih dan tiang misteri itu sejak di bangku sekolah rendah lagi.

“Pada masa itu, mak dan ayah melarang kami keluar rumah dan merayau-rayau terutamanya pada lewat petang kerana dikatakan ada makhluk yang memburu kepala budak untuk buat jambatan.

“Seingat saya juga, bertahun-tahun berita itu tersebar. Mungkin juga ia telah ditokok tambah untuk menyedapkan cerita,” katanya.

Ketika bersekolah menengah di sebuah sekolah berasrama penuh di selatan tanah air, Shamsul Azhar terkejut apabila mendapati ada dalam kalangan rakannya tahu mengenai kisah buaya putih dan tiang misteri itu.

“Saya ingatkan hanya orang tempatan tahu mengenai kisah itu. Rupa-rupanya, ia dah tersebar ke merata tempat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI