JEMPOL – Seorang penoreh meninggal dunia selepas hampir 24 jam bertarung nyawa selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Besar Palong 12, di sini kelmarin.
Masrol Ramli, 38, dari Palong 13 disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah pada pukul 1.15 petang.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kemalangan pada pukul 2.30 petang itu berlaku apabila motosikal jenis Honda Wave ditunggang mangsa dari arah Palong 4 ke Palong 13 gagal dikawal lalu terbabas ke kiri jalan.
“Motosikal mangsa telah merempuh tiang elektrik dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
“Dia kemudian disahkan meninggal dunia ketika dirawat di HTAN keesokan harinya (semalam),” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -K! ONLINE